Sunday 2 June 2013

Agenda Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR)

Walaupun telah lama dikaji, Tanggungjawab Sosial Korporat atau CSR (Corporate Social Responsibility) masih tidak mempunyai definisi yang kukuh. CSR adalah merupakan satu bidang kajian akademik yang semakin berkembang dan amat berkait rapat dengan bidang perniagaan. Oleh itu, persoalan-persoalan mengenai CSR selalunya seiring dengan perniagaan, dan salah satu persoalan yang menjadi perdebatan adalah, ‘Adakah CSR bermanfaat untuk perniagaan ataupun tidak?’. Perkembangan bidang CSR menyebabkan ianya berperanan penting kepada sesebuah syarikat korporat itu. Betapa pentingnya CSR itu adalah kerana terdapat semakin banyak usaha-usaha untuk menginstitusionalisasikan amalan CSR. (Institusionalisasi bermaksud penubuhan sesuatu amalan sebagai satu kebiasaan atau norma dalam sesebuah organisasi atau budaya.)

Source: rndevents.com

Apa yang unik tentang CSR adalah para pengkaji masih tidak mempunyai pendapat yang sama mengenai definisi CSR. Terdapat pelbagai tokoh yang mendefinisikan CSR dalam konteks, konstruk dan teori yang berbeza-beza. Oleh itu, CSR adalah lebih relevan difahami sebagai satu bidang dalam kesarjanaan (a field of scholarship / scholarly method). Selain itu, CSR adalah satu bidang kajian yang masih sedang membangun, atau a continuing state of emergence menurut Lockett et al. (2006). CSR juga dinyatakan sebagai satu bidang tanpa paradigma.

Pencerahan mengenai kekeliruan dalam definisi dan identiti CSR boleh dilihat melalui institusionalisasi CSR sebagai satu bidang dalam kesarjanaan. Institusionalisasi tersebut adalah melalui;
  1. peningkatan terbitan jurnal-jurnal dalam kajian CSR,
  2. pewujudan pertubuhan dan persidangan yang berfokuskan CSR, dan
  3. penubuhan unit, pusat atau institusi khas dalam kajian CSR di universiti-universiti.

Kebanyakan jurnal yang menyiarkan kajian CSR tidak meletakkan CSR sebagai tajuk judul, tetapi dipayungkan di bawah judul-judul yang lebih luas atau general seperti ‘business and society’ atau ‘business ethics’. Selain itu, penulis menambah 3 lagi pemerhatian yang penting dalam mengenal pasti jurnal-jurnal yang boleh diguna-pakai sebagai jurnal rujukan bagi bidang CSR. Pertama, hujahan CSR sering dimuatkan dalam jurnal-jurnal bidang pengurusan yang terkini. Kedua, perdebatan mengenai CSR juga dimuatkan dalam jurnal-jurnal bidang lain yang mempunyai kaitan rapat dengan CSR – bergantung kepada penulis atau pengkaji – iaitu jurnal-jurnal kelestarian, pengurusan alam sekitar, perakaunan, pentadbiran korporat, dan perhubungan awam serta jurnal-jurnal ekonomi, politik, hubungan antarabangsa, undang-undang dan sosiologi, yang mengetengahkan perkembangan ciri-ciri bidang CSR. Ketiga, walaupun kebanyakan jurnal yang menghujahkan CSR diterbitkan di Amerika dan British, terdapat juga jurnal bukan berbahasa Inggeris yang memperdebatkan isu CSR, seperti Itali, Jerman dan Perancis. Di sebalik penerbitan jurnal-jurnal berfokuskan kepada CSR, terdapat juga peningkatan buku-buku koleksi yang disunting (edited collections) yang berkuncikan CSR sebagai topik utama.

Peningkatan pertubuhan-pertubuhan yang berfokuskan kepada CSR juga menjadi salah satu indikator yang penting dalam penginstitusionalisasian CSR. Antara pertubuhan-pertubuhan CSR yang diwujudkan adalah seperti dalam jadual di bawah:


Penubuhan unit, pusat dan institusi khas untuk kajian CSR di universiti juga memainkan peranan yang penting dalam penginstitusionalisasian CSR. Kebanyakan tokoh yang menyumbang kepada kajian CSR adalah dari golongan pendidik, terutamanya pendidik dalam bidang pendidikan atau pengurusan. Namun, kursus, program atau modul yang diperihalkan sebagai CSR ditawarkan di bawah pelbagai label pengkhususan seperti etika perniagaan, pengurusan alam sekitar, pembangunan lestari dan CSR itu sendiri. Semua ini membawa kepada kepelbagaian bidang kesarjanaan dalam CSR.

Kepelbagaian latar belakang para tokoh yang menyumbang kepada CSR memberi gambaran yang menarik mengenai CSR. Terdapat tokoh-tokoh yang sememangnya memfokuskan penerbitan kajian mereka dalam CSR, dan juga tokoh-tokoh daripada bidang-bidang lain yang mengaitkan bidang mereka dengan CSR. Buku The Oxford Handbook of Corporate Social Responsibility membincangkan mengenai kepelbagaian sifat bidang CSR dan menggabungkan perspektif dari pelbagai bidang sains sosial untuk menggambarkan CSR.


Rujukan:
Crane, A., McWilliams, A., Matten, D., Moon, J., and Siegel, D. S. (2008), The Corporate Social Responsibility Agenda. In The Oxford Handbook of Corporate Social Responsibility, Oxford University Press. Ch.1, pp.3-15.

No comments:

Post a Comment